Wednesday, October 16, 2019

HUKUM BEDAH BINATANG

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 414 (26 OKTOBER 2016 M / 25 MUHARRAM 1438 H)



SOALAN:

Assalam..betul ke ada hadis yang mengatakan haram membunuh katak?bagaimana pula jika katak dibunuh untuk tujuan pembelajaran dan penyelidikan?



JAWAPAN:



Waalaikumussalam wbt,

Aktiviti membedah katak dalam subjek sains ialah satu modul pembelajaran yang popular. Katak dibedah hidup-hidup setelah ditidurkan menggunakan bahan kimia untuk dipelajari rupa bentuk dan fungsi organ-organ dalamannya. Selain daripada katak, tikus juga digunakan dalam modul tersebut. Setelah dibedah, haiwan itu akan dimatikan dan dilupuskan.

Isu ini sebenarnya tidaklah disepakati dan turut mendatangkan kontroversi. Dalam perbahasan fiqh Islam, ulama berbeza pendapat tentang hukum membedah katak kepada dua golongan.

Golongan pertama:

Mereka mengharamkannya berdasarkan perbuatan membunuh katak kerana ada hadis yang melarang hal itu. Daripada Abdurrahman bin Uthman:

أَنَّ طَبِيبًا ذَكَرَ ضِفْدَعًا فِي دَوَاءٍ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهِ

Maksudnya: Bahawa seorang perawat menyebut bahawa dia menggunakan katak dalam penyediaan ubatnya ketika dengan Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW menegahnya daripada membunuh katak.

Hadis riwayat al-Nasaie (4355), Abu Dawud (5269), Ahmad (15757), al-Darimi (2041), al-Hakim (5882) dan lain-lain.

Abdullah bin Amru RA juga pernah menyebut:

لَا تَقْتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإِنَّ نَقِيقَهَا تَسْبِيحٌ

Maksudnya: Janganlah kamu membunuh katak-katak kerana sesungguhnya bunyinya itu ialah tasbih.

Hadis riwayat al-Baihaqi (19382) dalam Sunan al-Kubra. Al-Baihaqi berkata sanadnya sahih.

Justeru, hukumnya adalah haram untuk membunuh katak, begitu juga untuk membedahnya lalu mematikannya. Inilah pendapat rasmi Darul Ifta’ al-Misriyyah. Sebahagian lain menganggapnya dilarang tetapi makruh. Ini terdiri daripada ulama mazhab

Golongan kedua:

Golongan ini berpendapat bahawa membedah katak bagi tujuan pelajaran adalah harus kerana larangan membunuh katak adalah bersifat makruh sahaja. Justeru, keperluan dan maslahat pembelajaran yang diperolehi daripada membedah katak adalah lebih utama berbanding larangan membunuh katak. Kaedah fiqhiyyah menyatakan:

الْكَرَاهَةُ تَنْتَفِي بِأَدْنَى سَبَبٍ

Maksudnya: Perkara yang makruh itu ternafi hukumnya kerana wujudnya sebab yang terendah.

Rujuk Nihayah al-Muhtaj oleh Syeikh Ibn Ramli (3/38)

Kaedah lain dirujuk:

الكَرَاهَة تَزُول بالحَاجَة

Maksudnya: Perkara yang makruh dihilangkan hukumnya kerana perkara keperluan.

Rujuk Majmu al-Fatwa oleh Ibn Taimiyyah (21/610), dan al-Syarh al-Mumti oleh Ibn al-Utsaimin (1/119)

Ataupun hukumnya ialah haram, tetapi berdasarkan keperluan belajar maka ia jadi harus sekadar untuk keperluan belajar. Kaedah menyebut:

الحَاجَةُ تُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ

Maksudnya: Keperluan yang bersifat hajat itu mengambil tempat keperluan yang bersifat mendesak.

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Suyuti (1/88)

مَا جَازَ لِحَاجَةٍ يتَقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksnyda: Apa yang diharuskan disebabkan hajat, hendaklah dilakukan berdasarkan kadar hajat itu sahaja.

Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra oleh Ibn Hajar al-Asqalani (3/348)

Inilah pendapat Syeikh Ibn Utsaimin. Kami bersetuju dengan pendapat bahawa jika ada pengganti haiwan lain seperti tikus maka hendaklah digunakan pengganti itu dan tidak boleh menggunakan katak untuk keluar daripada khilaf.

Wallahua’lam.





No comments:

Post a Comment